Wednesday 10 August 2011

'Motibasi' Ramadhan

1. ‘Motibasi’ disini bermaksud sebarang bentuk nasihat, saranan, teguran, ingatan, dorongan, galakan atau dengan kata lain motivasi yang tidak lagi memberi kesan pada yang menerimanya. Bukan sahaja tidak lagi diterima oleh individu atau masyarakat, malah mungkin akan dicemuh atau tidak dipedulikan sama sekali.

2. Muslim sebenarnya yang memerlukan puasa untuk kehidupan spiritualnya, sepertimana badan memerlukan makanan, minuman dan oksijen untuk hidup. Ada mufasirin menafsirkan bahawa ayat yang mewajibkan puasa pada bulan ramadhan, iaitu maksud ayat “ kutiba” ( fael majhul), bukan sekadar membawa maksud ‘diwajibkan’ tetapi membawa maksud sudah ditetapkan /dimaktubkan  kerana ianya adalah keperluan yang memenuhi rohi bagi setiap muslim.

3. Puasa adalah amalan para ambiyak dan umat terdahulu, sepertimana juga ibadah solat dan berzakat. Solat dan zakat juga ibadah yang diperlukan ( mesti ada) oleh setiap muslim bagi menjaga iman dan taqwa.

4. Orang yang tidak menunaikan solat, tidak berpuasa dan tidak berzakat, samalah seperti orang yang tidak mengambil makanan, tidak minum dan tidak menghirup oksijen. Maka orang itu akan mati. Ini juga bermakna rohi orang yang tidak solat, tidak berpuasa dan tidak berzakat itu sebenarnya sudah pun MATI.
5. Sebaliknya orang yang makan makanan tidak berzat, minum air yang tercemar dan menghidu udara yang juga tercemar, maka bayangkan kepayahan hidup dan taraf kesihatan mereka!. Begitu juga keadaan orang yang solatnya tidak ‘berzat’, puasa dan zakatnyanya tercemar, maka rohi mereka juga akan merana dan tidak berkualiti. Ditambah dengan tidak atau jarang sekali membaca AlQuran atau membaca dalam keadaan tercemar dari sudut tajwidnya.
6. Solat yang tidak ‘berzat’ itu adalah solat yang tidak fokus dan tidak ingat Allah, dirikan solat ketika hampir luput waktu, sentiasa solat sendirian dan tidak sempurna wuduk serta tomakninahnya.
7. SESUNGGUHNYA KERUNTUHAN AKHLAK DAN KELEMAHAN UMAT ISLAM DALAM BANYAK PERKARA ADALAH DISEBABKAN OLEH ROHI MEREKA YANG SEPARUH MATI, IAITU APABILA IBADAH MEREKA DALAM KEADAAN TERCEMAR.
8. Berikut ini kita bincangkan maksud PUASA YANG TERCEMAR dan sudah pun menjadi ‘motibasi’ sejak sekian lama
9. Sudah ramai dan sudah lama para pendakwah mengingatkan tentang PENCEMARAN PUASA seperti:-
a. Masih membuang masa dengan menonton televisyen atau melayari internet ( malah ketika bersahur juga ada siaran TV)
b. Pesta makanan di bazaar Ramadhan dan diiktiraf sebagai produk pelancungan pula!
c. Ada yang kerap berbuka puasa secara mewah di restoran dan hotel.
d. Iklan jualan hari raya sudah dibenarkan sebelum Ramadhan lagi, dan makin hebat menjelang syawal.
e. Masih berpakaian menjolok mata ketika berpuasa. Berpelesiran masih spt biasa
f. Akhlak seperti mengumpat, pemarah dan negatif yang lain sama sahaja walaupun berpuasa.
g. Gagalnya kempen, “ Ramadhan sebagai pemangkin untuk berhenti merokok”.
h. Tidak istiqamah membaca AlQur’an
i. Tidak solat tarawih secara berjemaah di malam sepuluh terakhir
j. Ghairah membuat persediaan hari raya untuk diri sendiri dan anak-anak
k. Tidak berqiamulail mencari lailatulqadar
l. Sebaliknya berqiam di pasar raya.
m. Sebaik datang 1 syawal, kegembiraannya terus MELENYAPKAN kesedihan perginya Ramadhan.
n. Menyambut syawal dengan kehebatan hiburan, malah hiburan yang tersendiri disediakan sepanjang dua minggu pertama syawal.
o. Segelintir sahaja, terutama anak muda yang meneruskan dengan berpuasa sunat enam hari dibulan syawal
p. Menjadi kata-kata tidak bermakna apabila berkata, “ Kedatangan Ramadhan yang dirindui , dan ditangisi akan pemergiannya!”.

10. Ingatan, teguran yang sudah dibuat banyak kali itu tidak memberi bekas pada sebahagian besar khasnya orang Melayu. PENCEMARAN puasa seperti diatas masih subur berlaku dimana-mana sahaja. Seolah-olah seperti menuangkan air diatas daun keladi.
11. TIDAK BERBEKAS pada hati umat ini untuk menjaga kualiti puasa dan tidak memandang berat akan masalah pencemaran solat dan penghayatan AlQur’an, maka selagi itu ujian demi ujian Allah terhadap umat Melayu ini.
12. Hati mereka tidak menjadi SATU untuk benar-benar disucikan sepanjang Ramadhan, maka didalam kehidupan harian hati-hati mereka sukar untuk bersatu. Begitu juga, mereka tidak bersatu untuk solat secara berjemaah, malah masih berbalah di masjid atau surau!
13. Perkataan madarasah atau universiti Ramadhan sudah biasa disebut, tetapi berapa ramai orang yang sudah menunjukkan ciri-ciri TIDAK LULUS ketika sedang berpuasa.
14. Sebaik habis Ramadhan, begitu ramai mereka yang gagal sebagai ‘graduasi Ramadhan’. Gagal sebaik datang syawal dan pada bulan-bulan berikutnya.
15. Seribu satu macam permasalahan orang Melayu, sebahagian kita menyalahkan sistem pendidikan, salahnya sistem politik, pentadbiran, sosio-masyarakat dan pelbagai sebab lain, TETAPI KITA GAGAL melihat PENCEMARAN ibadah umat Melayu yang mengundang kemurkaan Allah SWT.
16. Bala dari Allah bukan sahaja dari sudut fizikal seperti gempa bumi, banjir besar, tsunami, tetapi ‘krisis umat Melayu’ pada masa ini juga adalah bala.
17. Itulah gambaran sebenar KERJA DAKWAH YANG SUDAH DILAKUKAN selama ini. Dakwah sudah lama lesu dan tidak berkesan pada masyarakat yang sudah tercemar ini. Bukan kerja mudah untuk memotivasikan semula umat ini selepas mereka menganggapnya sebagai isu ‘ basi’.
18. Bukan sahaja tercemar ibadah, malah minda mereka juga sudah tercemar gaya hidup hedonism.
19. Maksiat kecil yang tersusun akan mengalahkan dakwah besar yang tidak tersusun.
20. Dakwah bermula dari hati-hati daie yang tersusun dan dakwah mesti melibatkan banyak pihak terutama dakwah MENENTANG KEMUNGKARAN, kerana amal maaruf boleh digerakkan secara indivdu atau oleh organisasi tertentu. Moga terus BERMOTIVASI SEPANJANG RAMADHAN DAN TAHUN INI ADALAH YANG TERBAIK

Sunday 10 July 2011

Bantu Melayu Ini Secara Borong

1.      Membincangkan isu sesuatu bangsa termasuk bangsa Melayu memerlukan kematangan dan ilmu yang mendalam  serta dilihat dari pelbagai sudut.

2.      Kelebihan orang politik ialah mereka lebih berdamping dengan khalayak dari pelbagai peringkat usia dan kedudukan demi survival politik mereka. Dari sekecil perkara seperti hal ekonomi dengan mengikuti harga getah semasa sehinggalah perkembangan pasaran saham . Begitu juga dengan  permasalahan yang ada dalam masyarakat.  Berbanding dengan badan persatuan atau NGO yang terbatas kewangan, terbatas keahlian, dan halangan yang lain, dimana keperihatinan NGO lebih tertumpu kepada akar umbi dan pada sasaran orang yang lebih kecil bilangannya.  Didalam kontek Melayu, ada NGO /persatuan yang berteraskan patriotik / semangat keMelayuan dan ada yang berteraskan Islam serta  Melayu Islam.


3.      Semua parti politik orang Melayu ada agenda positif yang tersendiri terhadap bangsa Melayu ini, ini termasuk UMNO, PAS, PKR, KITA dan HAMIM. Begitu juga semua NGO Melayu dan NGO Islam, persatuan pelajar, persatun silat  serta persatuan biasa , dan juga perjuangan oleh kelompok kecil yang tidak dikenali dan secara individu.

4.      Maka adalah satu kesilapan jika ada pihak dari parti tertentu atau NGO ini menuding jari pada pihak lain tidak memperjuangkan Melayu sepertimana yang mereka perjuangkan.


5.      Yang membezakan perjuangan mereka itu berbeza mengikut fahaman dan pendekatan masing-masing. Ada yang mengutamakan masalah orang Melayu dan diwaktu yang sama sangat sedikit  memperjuangkan Islam, dan ada yang memperjuangkan Melayu semata-mata. Namun sekiranya menuduh mereka mengabaikan nilai Islam, mereka akan menafikannya! Bukanlah bergelar ‘pahlawan’ jika ada yang memperjuangkan Melayu sahaja atau bukan juga bergelar hero jika mendakwa mahu dikenali sebagai pejuang Melayu Islam.

6.       Pada mana-mana bangsa dan Negara ,perjuangan parti  politik dan NGO ada garis pemisah yang sangat jelas, cara kerja dan  hala tuju yang berbeza

7.      Parti politik Melayu ini  mempunyai ‘ term and condition’ yang tertentu dalam memperjuangkan Melayu. Sifat taksub telah membuatkan program UMNO untuk Melayu tidak akan disambut oleh PAS dan PKR, begitu juga sebaliknya, malah saling mendabik dada dan bangga diri. Perkara ini sudah lama berlaku  sejak orang Melayu aktif berpolitik!   

8.      Adalah dangkal berfikir, jika orang diatas pagar menuduh  orang  Melayu berpecah disebabkan oleh fahaman  politik. Sedangkan si kembar seiras juga   berbeza cara fikir, inikan pula sesuatu bangsa dan kaum. Namun politik Melayu terlampau yang kita tentang!. Paling minima, orang Melayu berpolitik ini boleh disatukan dalam isu Islam seperti isu akidah, murtad, moral masyarakat dan isu Palestin. Namun lebih malang, isu seperti ini juga dipolitikkan.


9.       Sesuatu yang TIDAK boleh dinafikan  ialah, program anjuran NGO Islam tidak disambut oleh ahli NGO Islam yang lain, kalau ada pun boleh dikira dengan jari. Begitulah celarunya parti politik Melayu dan NGO Melayu Islam ini. Namun usaha kerjasama di antara NGO ini boleh diperbaiki lagi, tetapi amat sukar dikalangan parti Melayu.

10.   Memang benar bahawa  bukanlah kerja utama NGO  menyelesaikan isu kemiskinan, tercicir dalam pelajaran, kemudahan jalanraya, penyediaan alat komunikasi, air-letrik  dan keperluan asas yang lain, dimana ini adalah kerja utama orang politik.


11.  NGO Islam  melihat parti politik orang Melayu telah gagal  memperjuangkan nasib orang Melayu secara holistik, terutama dalam menjaga nilai Islam secara syumul dikalangan Melayu.  Ini mungkin diakui oleh orang politik, tetapi  mereka mendakwa lebih melihat isu besar sebagai agenda perjuangan seperti isu ekonomi, pelajaran dan hak orang Melayu.

12.  PAS menafikan mereka mengabaikan isu Melayu apabila memperjuangkan Islam, begitu juga UMNO menafikan mereka mengabaikan Islam ketika ghairah memperjuangkan Melayu. Manakala didalam PKR, isu Islam sukar untuk diketengahkan pada keahliannya yang majmuk, malah di kalangan Melayu PKR, cuma segelintir ahlinya mempunyai agenda Islam.

13.  Ada NGO Islam  menganggap bahawa NGO Islam yang lain lebih memfokus kepada Islam secara umum dan tidak memfokuskan  isu Islam dan  Melayu. NGO Islam yang lain itu mempunyai alas an iaitu dasar perjuangan nilai Islam di Malaysia ini tentunya untuk orang Melayu kerana mereka adalah NGO Melayu Islam. Dan tidak perlu mengkhusus kepada perjuangan Melayu Islam. Malah mereka berkata, isu Islam yang mereka perjuangkan itu juga boleh diterima oleh bangsa lain yang beragama Islam.


14.  Apabila ada NGO Islam memilih Melayu Islam sebagai tumpuan, maka NGO itu harus melihat kekuatan dalaman dan kepakaran yang ada terlebih dahulu. Di luar sana banyak persoalan  ( masalah) Melayu yang mahu di utamakan mengikut peringkat individu kanak-kanak, remaja lelaki, remaja wanita, dewasa, rumah tangga, kariah surau-masjid, persatuan, organisasi, perniagaan sehinggalah ketahap pimpinan Melayu.

15.  Pada gelombang kepanasan politik tanah air ketika ini, persoalan politik di kalangan orang Melayu bukan agenda utama untuk diberi tumpuan. Usaha menyeru orang politik ini bersatu adalah sia-sia dan mungkin menjadi bahan sindirin, malah untuk mengajak mereka berlapang dada antara satu sama lain juga adalah usaha yang sukar. Maka orang politik bukan sasaran utama Melayu Islam.
16.  Sasarkan kepada Melayu yang tidak  berparti atau yang suam-suam kuku berpolitik. Usaha untuk ‘mengimankan’ orang UMNO oleh ulamak muda UMNO juga kelihatan sia-sia, sepertimana usaha Dato’ Seri Anuar Ibrahim dulu dan oleh PAS pada zaman Datuk Asri Muda. Manakala PAS pula punya kaedah tersendiri dalam mengsyumulkan Islam.

17.  Saya melihat isu kepincangan instituisi keluarga, akhlak remaja dan  kelesuan ibadah adalah ISU BESAR yang harus DIBORONG OLEH NGO ISLAM. 


18.  Apakah pakej dan produk terbaik untuk  ketiga-tiga perkara ini?  Inilah yang mesti di canai dan di olah.  Produk ceramah, seminar dan latihan adalah lebih mesra kepada NGO, ianya  tidak memerlukan sumber kewangan yang besar dan lebih mudah, serta sasaran lebih meluas, berbanding menubuhkan instituisi seperti sekolah atau instituisi pemulihan akhlak dan sebagainya. NGO juga tidak punya wang untuk melakukan pelbagai kebajikan yang biasanya sebagai ala kadar sahaja dan menunjukkan keperihatinan.

19.  Pakej dan produk MESTI  kena pada sasaran, kerana jika yang hadir pada program itu majoriti masih dikalangan ahli NGO, maka tidak tercapai objektif dan perlu kepada pengolahan semula. Ada NGO yang sudah membuat road show seminar pada beberapa negeri dan  dihadiri kebanyakkan oleh ahli-ahlinya, maka road show itu akan terhenti  begitu sahaja pada masa akan datang.


20.  Produk besar seperti simposium atau konvensyen lebih bersifat ‘one off’ dan baik sebagai mencari ‘trade mark’ kepada NGO, tetapi produk yang sama mesti di seminarkan pada setiap pelosok negeri.

21.  Pakej ini  mesti  menjadi  patern dan trade mark pada NGO  dan terus dikembangkan serta dikemas kini dari masa ke semasa. NGO juga mesti berfikir sebagai seorang usahawan  untuk kelangsungan  produk latihan ini.

22.  Sebagai motivator sejak 1990an, saya melihat pemilihan nama pakej sangat penting supaya  ‘Motivasi tidak bertukar kepada Motibasi’. Malah perkara ini pernah dibincangkan dikalangan perunding motivasi ternama tanahair. Program keibubapaan, pembelajaran dan remaja sudah lama dijalankan oleh banyak pihak.  Pemilihan tajuk dan pengisian pakej mesti bersifat ‘outstanding’ dan menarik minat untuk dihadiri.

23.  Sebagai contoh, tajuk seperti ‘ CafĂ© cinta , ekspresi cinta seksual Remaja’,  Anda Bijak Jauhi Zina’ adalah  lebih bersifat ‘up to date’ dan sesuai  untuk remaja pada masa ini.

24.  Manakala untuk anak-anak, nama-nama seperti  ‘anak soleh’ sudah lama digunakan, begitu juga dengan ,’ anak pintar’  atau ‘anak hebat’. Perkataan ini boleh diguna semula tetapi perlu kepada pengolahan semula.  Begitu juga kursus solat untuk anak-anak, temanya boleh menarik ibubapa untuk menghantar anak-anak mereka. NGO perlu bersaing dengan perunding motivasi lain yang biasa mengendalikan kursus sedemikian.

25.  Satu cabaran besar untuk golongan ibubapa menghadiri sesuatu ceramah atau seminar, terutama oleh penceramah yang tidak terkenal, dan tajuk yang tidak menarik.  

26.  Begitu juga dalam soal  membetulkan kecelaruan ibadah orang ramai. Memilih tajuk ‘ JOM SOLAT @ AYUH SOLAT’ adalah tajuk dan pakej lama dan tidak menarik.  Mengajak orang dewasa  yang sudah lama meninggalkan solat lebih payah, berbanding mengajak orang yang sudah solat supaya memperkasakan solatnya. Bagi saya, inilah kumpulan sasaran terhadap permasalahan ibadah umat Melayu. Tajuk yang lebih sesuai seperti, “ Ayuh Solat Berjemaah”.

27.  Saya sendiri yang sudah 5 tahun memperkenalkan tajuk  BIOMEKANIK SOLAT dan Ibadah sebagai terapi , kini MULA MENCARI  pakej baru untuk menarik orang ramai, seperti ‘ trasformasi Ibadah’, ada yang mencadangkan ‘ the power of solat’, ‘ibadah secara eksklusif’ , ‘ Anda ialah bagaimana Ibadah anda’,  dan lain-lain yang sesuai . Biro agama atau majlis agama NGO sepatutnya memainkan peranan dalam isu ini. Saya boleh berkerjasama dengan mana-mana persatuan dan NGO untuk berkongsi idea dalam usaha mengtahsinkan solat dan ibadah.

28.  Kuliah maghrib, subuh atau ceramah semasa juga perlu ‘di patern’ kan oleh NGO dikalangan ahli-ahlinya yang bergelar ustaz/ustazah. Walaupun berbeza kitab dan nama kuliah, tetapi  pendekatan, kiasan dan kesimpulannya seragam. Seperti menekankan dan galakan  solat berjemaah, dan  menjadi ibubapa yang hebat dalam semua bidang.

29.  Saya melihat isu Palestin dan kemanusiaan yang lain sudah menjadi antara isu utama pada sesetengah NGO.  Khasnya isu Palestin, setelah agak lama isu ini masuk ketengah masyarakat, isi kandung ceramah perlu memasuki fasa berikutnya selepas fasa fizikal di Palestin yang boleh meruntun hati pendengar. Fasa fizikal ini perlu digabungkan dengan ‘fasa dakwah dan tarbiyah ‘. Objektif akan tetap tercapai untuk member kesedaran dan meminta sumbangan dari orang ramai. Begitu juga NGO  ini akan menonjolkan penceramah  yang sama, pelapis perlu dilatih dari sekarang.


30.   Memilih Melayu Islam perlu pada tempat dan kesesuaian. Memilih agenda kehebatan Melayu pada produk konvensyen ‘500 tahun kejatuhan Melayu Melaka’ adalah sangat tepat, tetapi ianya seperti tiada program susulan. Memilih tema ‘Melayu Islam’ yang bunyinya berbeza perlu difikirkan semula sebagai produk motivasi atau pengislahan untuk jangka panjang. Ianya sesuai untuk ‘one short program’ tetapi bukan sebagai produk seminar berkala.

31.   Setelah ada pakej dan produk, maka perlu ada team yang kuat untuk kelangsungan dan keberkesanan program.  Inilah sebenarnya ‘trade mark’ yang perlu ada dan NGO dikenali oleh orang ramai dengan pakej dan produknya selepas program ‘one off’.

32.   Tahniah kepada NGO yang sudah memiliki sekolah, tadika dan instituisi lain serta sudah mempunyai trade mark kepada masyarakat.

33.   Ahli NGO Islam sendikit  dan ahli yang berkualiti pula lebih sedikit berbanding dengan Melayu yang melata permasalahannya.

34.   Pakej dan produk ini boleh diborong kepada semua orang Melayu, dan merekalah target sebenar, serta diingatkan lagi sekali, ianya bukan disambut dikalangan ahli NGO  sahaja atau Melayu yang tidak bermasalah.

Monday 4 July 2011

Cermin Mata Dan Cermin Muka

1. Kabur jauh, kabur dekat atau kedua-duanya boleh diatasi dengan memakai kacamata. Mata yang kabur semakin terang dan kembali normal.
2. Melalui cermin mata, selagi boleh dicapai oleh kekuatan mata, yang buruk, yang tidak berapa buruk, yang baik dan yang tidak berapa baik jelas kelihatan.

3. Analoginya sama dengan pandangan hati terhadap sesuatu perkara. Bukan semua yang buruk perlu diceritakan kepada orang lain, namun inilah kegemaran manusia yang lebih nampak keburukan orang lain dari keburukan diri sendiri. Begitu juga segelintir manusia suka sangat menggunakan cermin mata hatinya menilai dan membuat tuduhan pada keaiban orang.

4. Sepatutnya kebaikan orang elok dikhabarkan, namun akibat rasa hasad, kebaikan itu disembunyikan.

5. Manakala cermin muka ialah untuk melihat wajah sendiri. Jika berwajah comot, maka pada cermin comot juga, sebaliknya berwajah kemas-rapi, maka begitu juga pada cermin, walaupun cermin itu tidak berapa jelas atau tersopek bingkainya.
6. Melihat cermin, umpama mengetahui kelemahan dan kelebihan diri. Belajarlah mengakui kesilapan diri dan berhati-hati untuk menonjolkan kelebihan diri.

Wednesday 29 June 2011

Siapa yang mabuk

Siapa Yang Mabuk?

1. Pada artikel sebelum ini, saya menceritakan kisah saya sekeluarga ke Langkawi, iaitu pulau yang dikatakan bebas cukai (khasnya rokok dan arak). Maka kelihatan bertimbun-timbun arak dalam tin dan botol dijual. Malah diberitakan ramai anak muda Melayu Langkawi yang 'bersapau' dengan minuman arak ini. Mereka mabuk arak dan mabuk dunia.




2. Pada kesempatan lain, baru-baru ini saya beberapa hari mengiringi isteri untuk menghadiri seminar di dua lokasi iaitu di Hotel Pullman, Putrajaya dan Hotel Traders disebelah KLCC.



3. Putrajaya yang dibina pada awal 1990an, dan walaupun saya pernah melihat master plan dan melihat perkembangan pembinaannya, namun saya cuma beberapa kali menjejak kaki kesana. Keadaan Putrajaya pada hari ini membuatkan saya seperti tidak berada di Malaysia. Melihat reka bentuk bangunan yang canggih dan berlainan bentuk pada setiap Kementerian (jabatan) kerajaan, malah bangunan Hotel Pullman yang cantik. tidak setanding dengan bangunan kerajaan di Pusat pentadbiran Malaysia itu. Mungkin Malaysia sahaja mempunyai bangunan pentadbiran kerajaannya semewah ini. Itu baru reka bentuk diluar, belum lagi reka bentuk dalamannya dan belum lagi kehebatan luaran dan dalaman kediaman rasmi PM ( juga pernah melihat master plannya) dan kediaman Pak Menteri dan Ketua Pengarah?



4. Masjid Putra dan Masjid Besi ( Tuanku Mizan), tersergam indah seperti ' indahnya ' cara fikir pengasas putrajaya ini. Segalanya hebat di Putrajaya ini dan pasti tersangatlah hebat wang dibelanjakan untuk membangunkannya. Jambatan dan reka eka bentuk serta penjagaan lanskap sahaja sudah ratusan jutaan ringgit. Segalanya seperti 1st class di sini, tetapi apakah minda pekerja dan penghuninya juga 1st class ?




5. Sebagai perbandingan, orang yang meminjam untuk membina rumah berharga RM 500 ribu ringgit ( setengah juta), akan membayar balik pada kadar sekitar RM 4-5 ribu sebulan, dan orang ini dikatagorikan sebagai kaya dan mewah serta 'gelojoh' dengan dunianya, walau tidak segelojoh dengan ' bapa gelojoh' ( bekas MB) yang telah membelanja RM 6.5 juta untuk hiasan rumahnya sahaja. Sebenarnya tiada perbezaan bapa gelojoh ini dengan kemewahan bangunan kerajaan di Putrajaya. Sedangkan bangunan bukan kerajaan yang nampak mewah dan canggih adalah bermotifkan perniagaan, tetapi apa yang boleh diraih dari bangunan kerajaan yang yang sebegini canggih? Maka lebih gelojoh dari bapa si gelojoh?




6. Akhirnya kekayaan Petronas dan hasil komodoti negara mencurah-curah UNTUK MEMBAYAR HUTANG PROJEK MULTI-BILLION PUTRAJAYA. Generasi akan datang dibebani hutang, malah pelajar IPT akan menanggung tambahan hutang lain yang mencecah RM 30 Ribu sepanjang pengajian, kerana luputnya biasiswa.




7. Menjejaki kawasan KLCC dan sekitarnya, juga membuatkan saya berada di negara asing. Berbeza dengan Putrajaya, kawasan mewah ini adalah lubuk perniagaan. Yang membuatkan saya 'mabuk' ialah melihat lautan manusia di Suria dan sekitar taman KLCC yang bertali arus dan beraneka ragam. Seperti biasa saya suka berfikir, kemana manusia ini mahu pergi? Dan melihat DUNIA INI BENAR-BENAR SYURGA BAGI KEBANYAKAN MANUSIA. Mereka mungkin tidak mabuk arak, tetapi mabuk dalam kesibukan mengejar dunia.



8. Maka tidak hairan kegelojohan dan pembaziran ini diteruskan oleh pimpinan berikutnya, maka mengapa sebahagian rakyat masih membisu dan membutakan penglihatan? Kemajuan kita sekadar bertompok-tompok, keadaan di Putrajaya dan KLCC tidak mengambarkan kehidupan rakyatnya, tetapi gambaran kehidupan pemimpinnya. Dalam perjalanan dari Putrajaya ke KLCC, kami singgah sebentar makan tengahari di Sri Serdang, iaitu salah satu taman yang menceritakan kehidupan sebenar orang orang pinggir bandar di Malaysia. Kami menahan 'mata' dari memandang kedaifan medan seleranya yang terkenal dengan puluhan lauk pauknya.



9. Kembali ke Springhill, hati menjadi tenang, selepas berada dalam alam kemewahan hotel dan persekitaran . Kembali memasuki semula kebun, kolam ikan dan kuching peliharaan serta kehidupan yang 'tidak laju' seperti di Kotaraya. Saya sendiri pernah 18 tahun menetap di K.Lumpur ( isteri saya lebih lama lagi), namun Kotaraya bukan tempat kami.



10. Sesunguhnya lokasi dan suasana persekitaran sangat mempengaruhi kehidupan. Namun apa yang boleh menjadi pengajaran dan motivasi ialah perlu istiqamah kesungguhan dan laju dalam menjayakan sesuatu dalam dunia yang laju ini.

Monday 13 June 2011

Masih Berulat

Masih Berulat


Pada malam Rabu baru-baru ini ( cuti sekolah), kami sekeluarga ke Arau dengan menaiki keretapi untuk bercuti di Langkawi. Kali terakhir saya menaiki keretapi ialah kira-kira 20 tahun yang lalu. Rupanya didalam keretapi Sinaran Langkawi ini disediakan surau yang selesa yang ada tempat berwuduk.


Waktu subuh masuk ketika sampai di Sg Petani, dan kami solat berjemaah di dalam surau itu. Tetapi yang MEMERANJATKAN dari ratusan penumpang Muslim yang menaiki keretapi ini cuma beberapa orang sahaja yang solat subuh di surau ini, dan ini termasuk beberapa orang tua yang berkupiah dan  wanita yang bertudung yang turut tidak solat. Apakah mereka ini 'berniat' untuk qhoda' , atau solat sambil duduk atau mengambil mudah menunaikan fardu subuh? Jika berniat qodha,a sedangkan ada kemudahan untuk solat, bermakna mereka sengaja ingkar.
 
Begitu juga keadaannya semasa kami balik dengan menaiki bas dari Kangar ke Seremban. Sampai di R n R Tg Malim, bas berhenti untuk solat subuh, cuma beberapa orang yang turun untuk solat.

Inilah penyakit berulat yang masih ada didalam masyarakat ini yang kelihatannya seperti baik, umpama buah pisang yang berbalut, tetapi ada juga yang rosak, berulat dan lembik . Tugas besar para pendakwah untuk menyedarkan dan merawat penyakit kronik ini

Tuesday 10 May 2011

Palestin Berpakat, Melayu Masih Tersekat

Bukan kali pertama dua kumpulan besar di Palestin iaitu kumpulan Nasionalis  dan kumpulan Islam berdamai dan berjaya bersatu seperti baru-baru ini, namu  kemudian mereka  kembali berpecah. Perpecahan mereka melibatkan pertumpahan darah dan  kehilangan nyawa.  Kita berdoa emoga  penyatuan kali ini  berpanjangan dan utuh  ketika mana kejatuhan pemerintahan diktator dan sekutu Israel, Husni Mubarak serta sempadan Rafah mahu dibuka seluas-luasnya untuk rakyat Palestin.
Melayu berpakat dan bermuafakat sudah lama diwar-warkan, namun dengan semangat Melayu yang melampau, maka sukar untuk bermuafakat dengan Melayu yang cuba mengamalkan cara hidup Islam.
UMNO masa kini didokongi oleh mereka mahu membela orang Melayu ,dan juga didokong oleh mereka yang melihat UMNO sebagai potensi besar untuk  habuan dunia atau Melayu yang memiliki kedua-dua sifat diatas. Manakala Melayu  dalam UMNO  yang cuba mewatakkan Islam secara syumul,  akan berdepan jalan sukar.  Bukan umpama ‘kacang melupakan kulit’, diakui bahawa UMNO sudah  banyak jasa melahirkan  Melayu yang  tinggi pendidikan  berbanding kelayakan dari bangsa bukan Melayu. Kita menghargai jasa mereka, namun  kepincangan UMNO boleh dilihat oleh Melayu yang semakin bijak ini. Maka silap besar jika UMNO mengatakan , budi mereka dibalas dengan tuba oleh Melayu yang menegur atau tidak menyokong  perjuangan mereka.
Orang UMNO sukar untuk menyangkal   akan dakwaan salah guna kuasa dan JAUHNYA cara hidup Islam dikalangan ahli-ahlinya.  Malah ada sindiran yang mengatakan,” Jika ada orang UMNO ( terutama usia bawah 50 tahun) yang  istiqamah berjemaah di Masjid dan surau, orang ini lain dari yang lain atau orang ini salah pilih parti ”.  Sudah lebih 50 tahun UMNO memegang kuasa dalam BN di Malaysia dan mendakwa turut memperjuangkan Islam, tetapi tiada qudwah amal Islam di kalangan pimpinan dan ahli-ahlinya.
Begitu juga Melayu yang ada didalam PAS yang mana segelintir mempunyai fahaman Islam yang cetek atau melampau sehingga menolak  dakwah selain dari PAS.  Kepada ahli PAS yang cetek fahaman Islam dan  masih tegar merokok, agaknya boleh disindir begini,” Anta menolak UMNO, tetapi merokok seperti  orang UMNO yang majoritinya merokok”.
PAS selepas 1998 membuka lembaran baru dengan kebanjiran  ahli dan penyokong dari orang bukan aliran agama, malah  semakin  terbuka serta dapat mengurangkan jurang dengan bangsa India dan Cina. PAS  sekarang ini  memilih Melayu dalam PKR sebagai rakan gabungan walaupun banyak kali ‘terluka’ dengan karenah pimpinan mereka. PAS pula banyak jasa dalam menyedarkan UMNO walaupun teruk diserangnya. Suara PAS semakin didengar dan ditakuti. Misi untuk UMNO dan PAS berpakat adalah lagu lama, dan misi yang banyak tembuk-tembuk besar.
Manakala Melayu yang ada didalam PKR adalah Melayu dari  reformis 1998, cebisan ahli UMNO dan ada yang tebal semangat keMelayuan, serta  Melayu yang  bercampur aduk fahaman Islamnya. Amat sedikit  dan tersepit  Melayu dalam PKR yang  syumul amalan Islamnya. Tidak kurang juga Melayu yang tinggi fahaman Islam, tetapi semakin tenggelam dalam arus ‘kerojakan’ partinya.
Melayu yang lebih dikasihi ialah yang duduk didalam NGO  Islam yang agak besar seperti ABIM, IKRAM, ISMA  dan  HALUAN, juga belum mampu berpakat sesama mereka demi Islam. Ada NGO  Islam ini yang aktif menyeru agar Melayu supaya berpakat agar Islam berdaulat, tetapi  slogan itu sekadar pada tulisan dan syarahan semata-mata, tanpa disusuli dengan tindakan yang berobjektif , tersusun dan praktikal.
Sepatutnya di kalangan NGO Melayu Islam , Melayu yang ada NGO yang lain adalah orang Melayu YANG PALING UTAMA untuk disepakati sebelum Melayu lain yang ada di luar. Tetapi  sesama mereka tidak boleh merendah diri atau beralah untuk berpakat. Mungkin begini perbualan,” Anta menyeru supaya Melayu mesti berpakat, tetapi siapa Melayu yang utama mahu kita pakatkan? Melayu dalam UMNO atau PAS atau PKR? Bukankah yang utama ialah Melayu yang duduk dalam NGO Islam yang lain? Bukankah Melayu dalam ABIM, IKRAM dan lain-lain NGO?   Jika tidak, anta cuma berangan-angan “.

 Walaupun ‘adik-beradik’ ini semakin kurang ‘bertengkar’, tetapi  hampir tiada usaha untuk berpakat dalam banyak perkara. Sebenarnya banyak ruang dan peluang untuk berpakat dalam dakwah iaitu menyeru dan mencegah. Mungkin kaedah menyeru itu berbeza-beza, TETAPI untuk MENCEGAH, ianya memerlukan  kekuatan kesepakatan NGO-NGO Melayu muslim ini.  Sejak dahulu, tidak dinafikan ada pergabungan dan kesepakatan diantara NGO ini, tetapi masih pada tahap minima dan TIDAK GAH lagi. Selagi  punya ego  lebih baik dari  organisasi lain, dan tidak mahu mengalah, maka Melayu yang mahu mengamalkan Islam  di bumi Malaysia ini akan duduk  ditakuk lama.
Diluar sana banyak lagi gerakan, persatuan Melayu, tetapi orang Melayu  yang tidak berpolitik, lebih terbuka terhadap  NGO Melayu Islam yang berpihak pada mana-mana parti. Namun NGO ini sekadar ada belang harimau, tetapi tidak bertaring.
Ramai yang merasa cemas dengan perpecahan Melayu terutama kerana politik, tetapi apakah perlu berpecah kerana Islam seperti orang politik itu?  Jika UMNO masih memujuk PAS yang pernah sebantal dengan BN  untuk bersatu seperti dahulu, mengapa tidak ‘adik-abang’ NGO Islam ini  mengajak kembali atau  menawarkan diri untuk  bersatu kembali atau paling tidak boleh berpakat dalam amal dakwah! Bukan soal  ada  ‘tongkat sakti ‘dakwah, atau  berdakwah tanpa’ tongkat sakti’ dan punya tongkat sendiri,   tetapi demi  pembentukan  flatform dakwah pada  15-20 tahun akan datang selepas   pimpinan NGO sekarang diganti oleh generasi baru. Tongkat itu bukan di Malaysia sahaja tetapi ada dibanyak bumi ini!  Jangan terpedaya dengan  ungkapan yang sengaja dicipta bahawa tongkat ini lebih tarbawi kerana tanpa jaringan global, maka tertegakkah daulah Islam alami? Namun  sii pemegang tongkat sakti mesti baiki diri  dengan amanah yang di beri dan masih banyak ruang perbincangan serta SEMUANYA MESTI RENDAHKAN HATI.