Wednesday 10 August 2011

'Motibasi' Ramadhan

1. ‘Motibasi’ disini bermaksud sebarang bentuk nasihat, saranan, teguran, ingatan, dorongan, galakan atau dengan kata lain motivasi yang tidak lagi memberi kesan pada yang menerimanya. Bukan sahaja tidak lagi diterima oleh individu atau masyarakat, malah mungkin akan dicemuh atau tidak dipedulikan sama sekali.

2. Muslim sebenarnya yang memerlukan puasa untuk kehidupan spiritualnya, sepertimana badan memerlukan makanan, minuman dan oksijen untuk hidup. Ada mufasirin menafsirkan bahawa ayat yang mewajibkan puasa pada bulan ramadhan, iaitu maksud ayat “ kutiba” ( fael majhul), bukan sekadar membawa maksud ‘diwajibkan’ tetapi membawa maksud sudah ditetapkan /dimaktubkan  kerana ianya adalah keperluan yang memenuhi rohi bagi setiap muslim.

3. Puasa adalah amalan para ambiyak dan umat terdahulu, sepertimana juga ibadah solat dan berzakat. Solat dan zakat juga ibadah yang diperlukan ( mesti ada) oleh setiap muslim bagi menjaga iman dan taqwa.

4. Orang yang tidak menunaikan solat, tidak berpuasa dan tidak berzakat, samalah seperti orang yang tidak mengambil makanan, tidak minum dan tidak menghirup oksijen. Maka orang itu akan mati. Ini juga bermakna rohi orang yang tidak solat, tidak berpuasa dan tidak berzakat itu sebenarnya sudah pun MATI.
5. Sebaliknya orang yang makan makanan tidak berzat, minum air yang tercemar dan menghidu udara yang juga tercemar, maka bayangkan kepayahan hidup dan taraf kesihatan mereka!. Begitu juga keadaan orang yang solatnya tidak ‘berzat’, puasa dan zakatnyanya tercemar, maka rohi mereka juga akan merana dan tidak berkualiti. Ditambah dengan tidak atau jarang sekali membaca AlQuran atau membaca dalam keadaan tercemar dari sudut tajwidnya.
6. Solat yang tidak ‘berzat’ itu adalah solat yang tidak fokus dan tidak ingat Allah, dirikan solat ketika hampir luput waktu, sentiasa solat sendirian dan tidak sempurna wuduk serta tomakninahnya.
7. SESUNGGUHNYA KERUNTUHAN AKHLAK DAN KELEMAHAN UMAT ISLAM DALAM BANYAK PERKARA ADALAH DISEBABKAN OLEH ROHI MEREKA YANG SEPARUH MATI, IAITU APABILA IBADAH MEREKA DALAM KEADAAN TERCEMAR.
8. Berikut ini kita bincangkan maksud PUASA YANG TERCEMAR dan sudah pun menjadi ‘motibasi’ sejak sekian lama
9. Sudah ramai dan sudah lama para pendakwah mengingatkan tentang PENCEMARAN PUASA seperti:-
a. Masih membuang masa dengan menonton televisyen atau melayari internet ( malah ketika bersahur juga ada siaran TV)
b. Pesta makanan di bazaar Ramadhan dan diiktiraf sebagai produk pelancungan pula!
c. Ada yang kerap berbuka puasa secara mewah di restoran dan hotel.
d. Iklan jualan hari raya sudah dibenarkan sebelum Ramadhan lagi, dan makin hebat menjelang syawal.
e. Masih berpakaian menjolok mata ketika berpuasa. Berpelesiran masih spt biasa
f. Akhlak seperti mengumpat, pemarah dan negatif yang lain sama sahaja walaupun berpuasa.
g. Gagalnya kempen, “ Ramadhan sebagai pemangkin untuk berhenti merokok”.
h. Tidak istiqamah membaca AlQur’an
i. Tidak solat tarawih secara berjemaah di malam sepuluh terakhir
j. Ghairah membuat persediaan hari raya untuk diri sendiri dan anak-anak
k. Tidak berqiamulail mencari lailatulqadar
l. Sebaliknya berqiam di pasar raya.
m. Sebaik datang 1 syawal, kegembiraannya terus MELENYAPKAN kesedihan perginya Ramadhan.
n. Menyambut syawal dengan kehebatan hiburan, malah hiburan yang tersendiri disediakan sepanjang dua minggu pertama syawal.
o. Segelintir sahaja, terutama anak muda yang meneruskan dengan berpuasa sunat enam hari dibulan syawal
p. Menjadi kata-kata tidak bermakna apabila berkata, “ Kedatangan Ramadhan yang dirindui , dan ditangisi akan pemergiannya!”.

10. Ingatan, teguran yang sudah dibuat banyak kali itu tidak memberi bekas pada sebahagian besar khasnya orang Melayu. PENCEMARAN puasa seperti diatas masih subur berlaku dimana-mana sahaja. Seolah-olah seperti menuangkan air diatas daun keladi.
11. TIDAK BERBEKAS pada hati umat ini untuk menjaga kualiti puasa dan tidak memandang berat akan masalah pencemaran solat dan penghayatan AlQur’an, maka selagi itu ujian demi ujian Allah terhadap umat Melayu ini.
12. Hati mereka tidak menjadi SATU untuk benar-benar disucikan sepanjang Ramadhan, maka didalam kehidupan harian hati-hati mereka sukar untuk bersatu. Begitu juga, mereka tidak bersatu untuk solat secara berjemaah, malah masih berbalah di masjid atau surau!
13. Perkataan madarasah atau universiti Ramadhan sudah biasa disebut, tetapi berapa ramai orang yang sudah menunjukkan ciri-ciri TIDAK LULUS ketika sedang berpuasa.
14. Sebaik habis Ramadhan, begitu ramai mereka yang gagal sebagai ‘graduasi Ramadhan’. Gagal sebaik datang syawal dan pada bulan-bulan berikutnya.
15. Seribu satu macam permasalahan orang Melayu, sebahagian kita menyalahkan sistem pendidikan, salahnya sistem politik, pentadbiran, sosio-masyarakat dan pelbagai sebab lain, TETAPI KITA GAGAL melihat PENCEMARAN ibadah umat Melayu yang mengundang kemurkaan Allah SWT.
16. Bala dari Allah bukan sahaja dari sudut fizikal seperti gempa bumi, banjir besar, tsunami, tetapi ‘krisis umat Melayu’ pada masa ini juga adalah bala.
17. Itulah gambaran sebenar KERJA DAKWAH YANG SUDAH DILAKUKAN selama ini. Dakwah sudah lama lesu dan tidak berkesan pada masyarakat yang sudah tercemar ini. Bukan kerja mudah untuk memotivasikan semula umat ini selepas mereka menganggapnya sebagai isu ‘ basi’.
18. Bukan sahaja tercemar ibadah, malah minda mereka juga sudah tercemar gaya hidup hedonism.
19. Maksiat kecil yang tersusun akan mengalahkan dakwah besar yang tidak tersusun.
20. Dakwah bermula dari hati-hati daie yang tersusun dan dakwah mesti melibatkan banyak pihak terutama dakwah MENENTANG KEMUNGKARAN, kerana amal maaruf boleh digerakkan secara indivdu atau oleh organisasi tertentu. Moga terus BERMOTIVASI SEPANJANG RAMADHAN DAN TAHUN INI ADALAH YANG TERBAIK

No comments:

Post a Comment