Sunday 10 April 2011

eXpresi dan perSepsi kaSih saYang

oleh: Dr Nor'Izam Alias

Rasa cemburu adalah satu fenomena biasa dikalangan anak-anak biarpun mereka telah meningkat remaja. Mereka merasakan terdapat unsur pilih kasih dalam keluarga namun perasaan ini berkurangan apabila memasuki alam dewasa. Segelintir dari mereka yang terus berada dalam konflik ini dan memberi kesan pada emosi dan hubungan sesama keluarga.

Pilih kasih ini mungkin benar-benar berlaku , tetapi dalam kebanyakan keadaan ianya cuma andaian/penerimaan (perceived) seseorang. Sesungguhnya persepsi kasih sayang amat dipengaruhi oleh kematangan emosi. Kematangan emosi yang baik tentunya memudahkan seseorang untuk bertoleransi dan berinteraksi dengan dengan orang lain.

Walaupun kebanyakan ibubapa mengatakan,” Kasih sayang kami sama sahaja”, namun persepsi anak-anak adalah berbeza. Sebenarnya sukar untuk ibubapa mencurahkan kasih sayang secara sama rata dan sentiasa adil. Kita sedia maklum bahawa adil adalah meletakkan sesuatu sesuai dengan keadaannya .Tentunya layanan dan tumpuan yang lebih pada anak kecil. Sebagai ibu bapa kita beranggapan anak- anak yang lebih tua sepatutnya beralah. Maklumlah adik masih kecil dan sukar dipujuk dan bukankah yang lebih tua sepatutnya lebih matang dan pandai mengawal emosi.
Pernah dalam satu sesi kaunseling seorang gadis memberitahu, “ Saya masih ingat lagi ketika berumur 9 tahun, ibu saya memberikan ayam goreng pada adik, biarpun saya dah bagitahu dia yang saya nak makan ayam tersebut. Ayam goreng tu cuma satu sahaja yang tinggal. Saya sedih sangat sebab emak selalu pilih kasih dan mengenepikan saya , pemintaan saya tak diendahkan”.

Kita mungkin terfikir, apa yang dihairankan pada ayam goreng yang boleh dibeli di mana-mana sahaja.Tapi apabila permintaannya tidak dipedulikankan, maka dijadikan alasan bahawa dirinya tidak dihargai. Biarpun sudah terlalu banyak kebaikan yang telah dilakukan oleh ibunya, namun peristiwa ini cukup signifikan dan beberapa peristiwa lain yang dianggapnya pilih kasih,sehingga membuatkan gadis ini sengaja membawa diri berkerja di Malaysia Timur.
Gadis ini sentiasa bersaing untuk mendapatkan perhatian supaya diterima oleh ahli keluarga yang lain.Seolah-olah satu pertandingan yang tidak berkesudahan . Walaupun dia merupakan graduan pusat pengajian tinggi, tetapi mempunyai imej negatif di mata ahli keluarga, di mana ahli beliau dilebelkan sebagai individu yang selalu menyusahkan orang .

Adiknya pernah berkata, “ Kakak selalu buat masaalah dan kami kena selesaikan”. Mungkin sikap kakaknya yang mementingkan diri sendiri dan sukar bertoleransi menjadikan ahli keluarga yang lain sukar memberi kerjasama.

Biasanya anak-anak sukar dipujuk dan mudah merajuk apabila diminta berkongsi dengan orang lain. Tetapi dengan pendidikan dan proses kedewasaan membuatkan mereka lebih matang, tidak mementingkan diri dan sanggup berkorban demi orang tersayang. Malangnya terdapat individu yang masih sukar berbuat demikian biarpun sudah dewasa. Contohnya seperti kisah gadis tadi.

Kadangkala mereka yang sudah bergelar ibubapa masih belum matang emosinya, dan mengakibatkan sukar bertoleransi dengan pasangan masing-masing biarpun telah tinggal sebumbung berpuluh tahun . Hal-hal kecil seperti sambutan hari raya boleh menimbulkan pergaduhan besar hanya kerana pasangannya tidak bersetuju untuk berhariraya di sebelah mertuanya dengan alasan tiada masakan kegemarannya.Malahan terdapat pasangan yang tidak segan silu berkata,” Dari kecik saya macam ni, awak kena fahamlah!” . Ego yang sebegini akan mencetus kerenggangan rumah tangga.

Kes kedua yang ingin saya kongsikan , juga seorang gadis yang memberitahu, “semenjak kecil ibu dan ayah memberi perhatian yang lebih pada adik yang merupakan kanak-kanak istimewa. Kami tak cemburu pun malahan sentiasa perihatin dan simpati dengan kekurangannya . Kami sering berbincang dan diingatkan untuk bantu adik “. Ketika menghadir i sesi kaunseling, saya dapati suasana perbincangan sangat harmoni, dimana setiap ahli keluarga dengan penuh mesra memberikan pandangan.
Gadis ini sedang melanjutkan pelajran dalam bidang pendidikan khas demi kasihnya pada adiknya dan mereka yang senasib . Biarpun bidang yang diceburi tidak glamour tetapi katanya, “ Saya mahu adik saya hidup seperti orang lain”. Biarpun adiknya tidak dapat berkata, tetapi senyumannya menggambarkan keceriaan dan kehadirannya amat dihargai oleh ahli keluarga yang lain biarpun dalam serba kekurangan. Kita biasanya mendengar ada adik beradik yang menyisihkan malah berasa malu kerana mempunyai adik beradik yang cacat, bahkan juga berlaku pada ibubapa yang ditakdirkan mempunyai anak istimewa ini.
Tindakan ibubapa yang secara istiqamah melibatkan ahli keluarga sepertimana kes kedua tadi sememangnya amat digalakkan. Perbincangan dan peringatan yang dilakukan secara berterusan ,penuh keikhlasan dan keinsafan pasti menimbulkan simpati dan kasih sayang. Semua pendapat diraikan, lalu masing-masing terpanggil untuk membantu .

Secara tidak langsung ini mempercepatkan kematangan emosi dan natijahnya ialah mereka sanggup berkorban demi orang tersayang. Semua ahli keluarga menunjukkkan toleransi yang tinggi dan simpati tanpa perlu dipaksa dan tentunya skil ini dapat digunakan bagi menghadapi cabaran diluar sana.

Setiap anak dilahirkan dengan pakej mereka yang tersendiri baik dari segi fizikal, personaliti dan kepintarannya . Dari kecil kita sudah dapat melihat masing-masing berbeza antara satu dengan yang lain.Terdapat dikalangan anak-anak kita yang dianugerahkan dengan imej positif . Mereka selalu dipuji oleh kawan-kawan , jiran-jiran dan sanak-saudara , mudah mesra ,suka menghulur bantuan dan selalu menjadi rujukan kerana bijak membuat keputusan

Tanpa kita sedari ibubapa sendiri banyak berinteraksi dan meminta pandangannya . Biarpun ianya tidak disengajakan , komunikasi sebegini jika diteruskan akan membuatkan yang lain rasa terpinggir .Ini jelas terpamer pada kes pertama tadi apabila beliau merasakan pandangannya tidak diendahkan.

Alangkah baiknya jika setiap ahli keluarga sama-sama berusaha membantu antara satu sama lain dan sanggup berkorban dalam mempamerkan kasih sayang sejati . Jauh sekali merasa ianya bebanan biarpun terlalu banyak kekurangan. Adalah tidak adil untuk kita mengasihi seseorang hanya kerana mengharapkan pulangan balik yang bakal diterima, baik pada ahli keluarga sendiri maupun untuk umat Isalm seluruhnya. Biarpun ramai boleh melahirkan sayang dalam lisan tapi tak ramai yang sanggup berkorban untuknya.

Mari sama-sama kita renungkan hadis, dari Abi Hamzah Anas bin Malik r.a, Bersabda Rasullullah s.aw ‘Tiada beriman seorang kamu hingga ia mencintai untuk saudaranya apa yang ia cintai untuk dirinya’
Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.

Ada banyak faktor yang mempengaruhi kematangan emosi . Ini termasuklah faktor keturunan dan sekitaran . Biarpun kita tidak dapat mengubah genetik yang ada tetapi perubahan perlu dibuat dari aspek sekitaran . Antara aspek persekitaran yang penting ialah pengalaman hidup yang dilalui oleh seseorang individu. Ini merupakan asset penting dalam membentuk kematangan seseorang.

Seorang kenalan pernah memberitahu betapa hiba perasaannya bila melihat penjual bazaar Ramadhan tidak dapat menghabiskan jualan airnya disebabkan hujan lebat. Pengalaman ini diperolehi bukan dari pembacaan, tetapi terpahat dalam ingatannya ketika membantu ibu menjual kueh sewaktu bersekolah rendah dan mudah baginya menyelami penderitaan penjual air tadi. Bak kata pepatah Melayu ‘ Betapa berat mata memandang berat lagi bahu memikul’ .

Emosi perlu dilatih, berpuasa contohnya amat memberi kesan positif dalam mempercepatkan kematangan seseorang kerana memberi ruang untuk individu itu merasai sendiri keperitan orang lain.Pengalaman sebegini tentunya sukar diperolehi tanpa mengalaminya sendiri. Oleh itu pendidikan sebegini perlulah di semai semenjak kecil lagi secara istiqamah. Berpuasa bukan pada bulan ramdhan sahaja! Beremosi ketika solat dengan emosi takut dan khuatir solat itu umpama hampas kerana tidak ingat Allah, maka akan melahirkan jiwa yang sentiasa merendah diri dan mencari salah diri sendiri. Malangnya berapa ramai orang yang tidak kisah dan tidak beremosi ketika solat, apalagi diluar solat?. Maka tidak hairanlah betapa ramai jiwa yang keras dengan manusia lain dan mementingkan diri sendiri.

Sama-samalah kita berdoa semoga anak-anak kita senantiasa di sulami dengan persepsi yang tepat dan pengalaman hidup yang memberi impak positif pada perkembangan kematangan mereka. Seterusnya ini dapat membantu mereka dalam mengharungi tanggungjawab sebagai khalifah Allah di muka bumi ini

No comments:

Post a Comment